Sebagai
ibu bapa, memang seronok melihat anak-anak membesar dengan sihat dan bijak.
Daripada lahir sehingga umur mereka dua tahun, pelbagai keletah dan kerenah
dapat diperhatikan. Sesetengahnya mencuit hati dan adakalanya membuatkan kita berasa bangga menjadi ibu bapa mereka. Sebolehnya, kita mahu berada di sisi
ketika mereka melakukan sesuatu buat kali pertama seperti ketawa, berdiri
sendiri, berjalan, mengucapkan perkataan, memanggil mama atau papa dan sebagainya.
Biasanya,
perkembangan awal kanak-kanak diukur daripada pertumbuhan dan perkembangan
fizikalnya. Bayi baru lahir akan diukur berat dan tingginya untuk
dicatatkan dalam carta supaya boleh dijadikan rujukan. Carta ini digunakan
untuk mengetahui sama ada seseorang bayi itu membesar secara normal atau tidak.
Tahap-tahap Pertumbuhan Bayi Adalah Seperti Berikut:
0 hingga 3 bulan
• Berupaya bertindak balas jika anda menyentuhnya dengan lembut pada pipi atau
bahagian sensitif lain seperti tapak tangan dan kaki.
• Dalam tempoh ini juga, kemahiran motor bayi mulai terbentuk dengan baik. Bayi
boleh menoleh kepala ke kiri dan ke kanan dan meluruskan tangan serta kaki.
• Mata bayi sudah boleh melihat tetapi tidak fokus.
• Pada usia enam minggu, bayi boleh tersenyum.
• Pada usia lapan minggu bayi akan mengeluarkan bunyi tetapi sukar
difahami.
• Kepala bayi sudah boleh diangkat apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia tujuh hingga lapan minggu bayi sudah boleh memegang alat permainan
lembut dalam tempoh sekejap.
• Pada usia sembilan minggu bayi sudah boleh melihat dari satu objek ke objek
lain.
Tip: Beri bayi anda alat permainan
yang mengeluarkan bunyi untuk merangsang kemahiran pendengarannya.
3 hingga 6 bulan
• Pada usia 14 minggu, bayi sudah boleh berguling dari perut ke belakang dan
sebaliknya.
• Bayi juga boleh mencapai objek dan menggoncang permainan.
• Bayi sudah boleh memegang dua permainan sekali gus dan meletakkannya dalam
mulut.
• Bayi sudah boleh mengangkat dadanya apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia 16 minggu bayi sudah mulai menendang-menendang kakinya.
• Genggaman tangan bayi mulai kejap dan kemahiran motornya kian mantap.
• Bayi boleh mengangkat kepalanya dalam masa yang agak lama dan memandang ke
arah kita.
Tip: Menyanyi akan menceriakan
bayi anda dan merangsang kemahiran lisannya. Jadi, ajaklah anak tepuk tangan
dan gerakkan badannya mengikut rentak muzik.
6 hingga 9 bulan
• Bayi mulai menolak dirinya dengan menggunakan kedua-dua tangan, perut dan
lutut.
• Mata bayi mulai fokus dan mengekori pergerakan kita di sekeliling rumah.
• Bayi juga mulai merangkak.
• Sudah boleh menggunakan genggaman hujung jari yang melibatkan jari telunjuk
dan ibu jari untuk mengambil objek kecil.
• Mulai berdiri dengan sokongan pelbagai barang dalam rumah seperti kabinet,
rak, meja dan sebagainya.
• Mulai berjalan dengan bantuan barang-barang sokongan seperti perabot.
• Bayi mengeluarkan pelbagai bunyi suku kata seperti ‘ba’ atau ‘da’ yang jelas
tetapi tidak difahami.
Tip: Ajar anak menyebut perkataan
yang mudah seperti mama dan papa untuk merangsang kemahirannya bercakap.
9 hingga 12 bulan
• Pada usia 40 minggu bayi mulai boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan
perabot.
• Sesetengah bayi mulai memulakan langkah pertama pada usia 41 minggu.
• Bayi juga berminat menolak kereta sorong dan memegang objek yang lebih besar
seperti bola.
• Bayi juga boleh memegang objek yang halus seperti pensel dengan cermat.
• Bayi boleh mengenali ahli keluarganya dengan jelas seperti ibu, bapa dan
adik-beradik.
• Sudah memahami arahan mudah kitaseperti ‘jangan’.
• Bayi gemar bermain ‘sorok barang’ dengan kita.
Tip: Mengajak anak bermain
‘sembunyi-sembunyi’ akan merangsangnya menjadi lebih fokus ketika
melihat.
12 hingga 24 bulan
• Pada peringkat ini kanak-kanak biasanya sudah pandai berkata-kata. Contohnya.
“Mana mama?”
• Ketika bercakap, mereka akan fokus terhadap apa yang mereka cakapkan itu.
• Semasa membaca buku bersama, mereka akan turut menyebut nama objek-objek yang
ada di dalamnya.
• Kanak-kanak dua tahun juga semakin pandai naik dan turun tangga.
• Boleh membuka zip yang bersaiz besar.
• Sudah pandai melukis.
• Semakin pandai memegang dan menggunakan sudu.
Tip: Beri anak anda sudu dan
garpunya sendiri ketika makan untuk merangsang kemahirannya memegang sesuatu benda.
Manakala
perkembangannya pula akan merangkumi 5 asas utama iaitu perkembangan fizikal,
bahasa, kognitif, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif.
1. Perkembangan Fizikal
Si manja mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan
motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan
dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari.
Manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti
melakar dan melukis.
Tip rangsangan: Berikan anak
kertas dan pensel warna. Biarkan dia melukis apa sahaja yang diingini untuk
memupuk kreativiti mereka.
2. Perkembangan Bahasa
Anak anda akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi-bunyian
kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas
kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya.
Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya,
menonton televisyen dan mendengar radio.
Tip rangsangan: Ajaklah anak
menyanyi lagu dengan lirik ciptaan kita sendiri agar anak boleh belajar
menyebut perkataan dengan betul. Misalnya,“Masa mandi, gosok gigi, gosok gigi,
gosok gigi...baru bersih.”
3. Perkembangan Kognitif
Ini bermaksud keupayaan kanak-kanak mengumpul maklumat dan menyelesaikan
masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia.
Interaksi dan komunikasi orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu.
Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah
melakukan pengumpulan maklumat.
Tip rangsangan: Setiap kali
melakukan sesuatu, beritahu anak apa yang kita sedang buat. Misalnya, “Mama nak
buka lampu ni,” lalu tekan suis dan lampu akan menyala. Dengan cara ini anak
kita akan memahami perbuatan tersebut.
4. Perkembangan Sosial Emosi
Kanak-kanak mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka
semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan
marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar perasaan yang diluahkan dan bimbing
mereka ke arah emosi yang positif. Jangan dibiarkan menangis berterusan tanpa
mengambil berat emosinya. Tenangkan mereka supaya tidak menangis berpanjangan.
Minta mereka memberitahu masalah dan berikan dorongan atau pujian sekiranya
mereka boleh menguasai emosinya.
Tip rangsangan: Galakkan anak
berkawan dengan rakan sebaya agar dia pandai berkomunikasi dan bertolak ansur.
5. Perkembangan Estetika dan Kreativiti
Lihat kemampuan si kecil mengembangkan daya kreativitinya. Kemahiran ini
diperoleh menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan
proses, berbanding dengan hasilan akhir. Proses ini mengaktifkan pemikiran
kritikal kanak-kanak dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu,
aktiviti pendidikan seni visual menggalakkan kanak-kanak melakukan eksplorasi
dan eksperimen dalam kehidupan seharian.
Tip rangsangan: Ajak anak bermain
permainan gambar sama. Ambil beberapa keping gambar dan buatkan dua salinan.
Campurkan kesemuanya dan biarkan anak asingkan gambar yang sama. Cara ini
mengasah kemahiran anak menyelesaikan masalah.
~ ibuadambatrisya ~
Terima kasih kerana sudi tinggalkan komen anda di sini... ConversionConversion EmoticonEmoticon